BACALAH

Assalamualaikum WMT dan salam penuh mahabbah,

Seluas langit diangkasa, seluas lautan di bumi, maka lebih luas lagi limpahan rahmat ALLAH buat sekalian yang diciptakanNYA. Dalam keraihan rahmat inilah mereka dari kalangan yang tidak mengenal akan DIA berada di dalam kufur akan nikmat tersebut, maka semoga ALLAH meletakkan kita dari kalangan yang bersyukur atas setiap pemberianNYA. Betapa bertuahnya bagi mereka yang beroleh hidayah dan taufiq ALLAH dalam setiap perbuatan baik diam atau gerak. Sessungguhnya hidayah minALLAH itu adalah sebaik-baik penggerak dalam amal, semoga dengannya tiada kita menisbahkan diri pada setiap amal agar amal itu tiada membawa kepada kesiaan umpama debu-debu berterbangan. ALLAHu ROBBuna, ALLAHu Akbar, AlhamduLILLAH.

Dihamparkan sekalian kasih ke keribaan Baginda Rasulullah SAW dengan penat jerih yang dibawa Baginda dari hanya sekelompok kaum membawa kepada keseluruh umat akhir zaman, yang melalui Baginda Habibuna Rasulullah SAW hari ini kita merasa nikmat Islam dan Iman dalam memeluk nikmat Ihsan. Bertuahlah kepada mereka yang bergelar Muslim, beruntunglah kepada mereka yang dilingkungan Mukmin, bersyukurlah mereka yang dikalungi Muhsin, berbahagialah mereka yang disemati Mukhlis, semoga berada kita sebagai umat Rasulullah SAW di dalam kalangan mereka-mereka ini. Adrikna Ya Rasulullah, Agistna Ya Rasulullah.

Para pembaca yang dikasihi ALLAH sekalian,

Dalam seharian kita bernafas, dalam erti kata lain 'hidup', ternyata rahmat ALLAH itu tidak pernah putus dan sentiasa melimpah ruah dalam apa jua keadaan kita. Namun sedarkah kita bahawa setiap yang hadir itu adalah dari DIA belaka, tiada satu pun jua dari kita, kerana hakikat kita ini dari tif'ul maani akan kembali jua dalam tif'ul maani, iaitu kosong kembali jua kosong. Begitu jualah ujian yang hadir dalam 'hidup' kita, setiap sesuatunya adalah cara ALLAH berbicara dengan kita, ALLAH sedang menyatakan sesuatu pada kita, pada hakikatnya ALLAH sedang bercakap dengan kita, inilah yang dikatakan carilah mati sebelum mati, agar tidak mati yang dibimbangkan mati. Mati jasad itu tiada membawa apa jua kesan atau kisah akan tetapi matinya hati membawa kepada sepenuh kisah yang mana, hati ini yang akan dibawa kita untuk berhadapan dengan ALLAH di Padang Penghakiman Al Masyar.

Inilah yang dibimbangkan dalam sekalian mereka yang takut pada ALLAH. Sebelum mati syarie (jasad), bertemu dahulu kita dengan mati mulki, seterusnya mati maknawi, kemudian mati sirri, bertamu pula mati hissi, sehinggalah kita bertemu dengan mati syarie atau tabie, maka inilah proses-proses mati yang perlu kita lalui agar tidak bertembung dengan matinya hati. Proses- proses inilah yang membawa kepada musyahadah fiLLAH. Makanya, isi bagi proses-proses ini adalah Mujahadah, Muroqabah, Muahadah dan Muhasabah.

Para pembaca yang dirahmati ALLAH sekalian,

Arakian di sini nyata bahawa sakit yang sebenar adalah sakit matinya hati, matinya hati dek kerana menafikan sesuatu yang haq, mengisbatkan sesuatu yang bathil. Tidak membezakan mana yang La dan manakah yang Illa. Maka mulalah berlakunya penisbahan diri sehingga lekatnya syirik yang begitu halus dalam dada dan amal, itulah ia syirik mukhafi, halus lagi halus.

Itulah yang dimaksudkan belajar dan beramal dengan sifat 20. Bukan sekadar hafal, malahan beramal dengannya agar tiadanya penisbahan diri. Ketahuilah mereka-mereka yang berjiwa bebas itu adalah yang bebas dari segala syirik, syirik jali mungkin kita terlepas, namun bagaimana denga syirik khafi dan mukhafi, yang berada umpama jarum yang halus di dalam amal, hanya dengan muraqabah sahaja kelihatan akannya.

Para pembaca yqng saya hormati,

Tidqk kira dalam sudut apa kira berada, baik sudut pendoa ('perawat') mahupun sudut pesakit, haruslah kita sedar bahawa ALLAH sedang memperkenalkan diriNYA kepada kita, seperti yang difirman ALLAH dalam hadith Qudsi “AKU ini perbendaharaan tersembunyi, kemudian AKU ingin dikenal, kemudian AKU menciptakan makhlukKU, dengan ALLAH jualah mereka mengenal AKU”.

ALLAH itu nama bagi ZAT Yang Maha Agung Lagi Suci. Maka wajiblah bagi mukallaf mengetahui akan perihal apa itu Asma ALLAH, Sifat ALLAH, Af'al ALLAH dan ZAT ALLAH.

Apa jua ujian yang hadir dalam hidup kita ini adalah cara ALLAH memperkenalkan diriNYA kepada hambaNYA.

Baik santau, sihir, saka baka, busung, ilmu terbang, ilmu terapung mahupun jua ilmu makan nasi, itu hanyalah topeng atau tabir yang berada di hadapan kita dek kerana belenggu-belenggu maksiat dari 4 pintu iaitu mata, telinga, mulut dan perbuatan. Andai terus kita berada di hadapan tabir dan tidak terus meneruskan perjalanan menyingkap akan kebenaran dibalik tabir itu, maka teruslah terbelenggu kitq dalam perjalanan yang tiada haluan dan tujuan. Sifat Jamal, Jalal, Kamal dan Qahhar ALLAH itu diperkenalkan kepada kita dari satu ujian ke ujian yang lain.

Sedarlah akan kita, bahawa dalam dunia ini, tiada satu pun sebenarnya kurnia melainkan ujian semata-mata sebagai ALLAH menguji hati mereka yang beriman sebagaimana yang disoal ALLAH kepada kita fil Quranul Kareem, 'bagaimanakah hendak kamu mengaku kamu beriman sedangkan kamu tidak diuji?'

Kerana sebenar-benar kurnia adalah saat terpisahnya nyawa dan jasad, dibibir mampu melafazkan kalimah sakti dunia akhirat LailahaillALLAH dan bertambah kurnia apabila mampu menyambung Muhammadun Rasulullah, bertambah indah kurnia tersebut jua disaat itu roh kita disambut oleh Rasulullah SAW sendiri dengan keluar dari mulut Baginda SAW, inilah UmatKu, inilah UmatKu, inilah UmatKu.

... bersambung , dari blog al-Fadhil Ustaz Wan Asrul, Telok Mas, Melaka [TIAF]

La Hayyun, La Qadirun, La Mutakallimun, La Samiun, La Basirun, La Alimun, Bi haqqi illALLAH...

Popular Posts