APAKAH SAKA?

Assalamualaikum pembaca sekalian,

Apa khabar? Bertemu lagi kita dalam artikel terbaru pada kali ini. Jadi dalam tulisan kali ini saya akan berkongsikan pula dengan anda tentang saka. Saya yakin yang anda semua mesti pernah mendengar  tentang sakakan. Tetapi setiap dari anda mesti mempunyai pandangan tersendiri tentang istilah tersebut.


Maka sebab itulah saya tergerak untuk menulis artikel tentang saka. Bertujuan untuk memberikan penjelasan berkaitan dengan masalah tersebut.


Baik, apakah saka itu?

Secara ringkasnya saka itu adalah jin-jin yang diwarisi secara keturunan yang diambil atas tujuan-tujuan tertentu, contohnya untuk kekuatan, kecantikan dan sebagainya. Ianya diwarisi kepada manusia lain samada secara sedar atau tidak sedar dan kebiasaannya melibatkan keturunan.

Sebenarnya apa saja jenis jin-jin yang diambil adalah tergolong dalam istilah saka samada jin keturunan, jin silat, jin tariqat ataupun hantu-hantu seperti hantu raya, jin perubatan/perbomohan, jin nenek moyang dan sebagainya.

Namun, menurut kepercayaan masyarakat Melayu, saka adalah jin atau nenek moyang yang diturunkan oleh orang tua dahulu kepada orang muda selepasnya yang biasanya mempunyai pertalian darah, contohnya seperti cucu, cicit, anak saudara dan sebagainya.

Dan lebih khusus lagi, masyarakat Melayu akan menggelar saka sekiranya berlaku perkara yang tidak sepatutnya berlaku kepada ahli keluarga mereka. Contohnya seperti berbual atau pun ketawa berseorangan, mengamuk tak tentu pasal dan sebagainya. Dalam pengalaman saya, ada sesetengah kes saka ini berlaku penjelmaan seperti binatang contohnya ketika dirawat pesakit akan mengaum seperti harimau.

Manakala kepada jin-jin silat atau pun yang digunakan dalam perubatan, biasanya tidak dinamakan saka oleh masyarakat Melayu kita. Selain itu jin-jin Islam dan juga jin-jin yang soleh juga tidak disebut sabagai saka.

Apakah tujuan diambil jin saka?

Kebiasaannya masyarakat dahulukala suka mengambil jin-jin ini bertujuan untuk melindungi diri dan keluarga, rumah atau tanaman. Bahkan sudah menjadi budaya kepada mereka untuk mengambil jin-jin ini sebagai pembantu dalam kehidupan seharian dan boleh dikatakan tidak lengkap sekiranya tidak diambil pembantu dari kalangan jin.

Umur jin adalah jauh lebih panjang dari umur manusia. Golongan jin yang berumur pendek pun mencecah ratusan tahun dan kalau yang berumur panjang boleh mencecah sehingga ribuan tahun. Oleh kerana telah ada perjanjian diantara jin tersebut dengan manusia yang membuat perjanjian (tuan jin), maka jin tersebut akan terus mendampingi tuannya sehinggalah jin tersebut dibuang yang dinamakan sebagai buang saka. Setelah tuan punya jin tadi meninggal dunia, maka jin tersebut akan mencari pula keturunan tuannya untuk dijadikan tuan yang baru.

Disebabkan jin berumur panjang maka jin saka ini akan terus mendampingi keturunan tuan asalnya hinggalah sampai kepada beberapa keturunan. Sekiranya jin tadi banyak ataupun jenis yang beranak pinak, maka ia akan terus mendampingi manusia dari kalangan tuan asalnya.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts