MENGAPA SAYA KENA GANGGUAN YER USTAZ?

Assalammualaikum WMT & Salam Ingatan,

Sepertimana jua rahmat dan kasih sayang ALLAH berlimpahan menyemati alam ini, sedalam itu jualah kesyukuran kepadaNYA atas setiap yang tiada diadakanNYA. ALHAMDULILLAH, segala puji-pujian bagi ALLAH, Zat Esa lagi Berkuasa atas segala sesuatu.

Semulia jejak kakiNya, setinggi itulah salam dan selawat ke hadrat Sayyidina Muhammad SAW, dengan perit jerih membawa nikmat Islam, Iman dan Ihsan buat sekalian umat, Baginda S.A.W, dengan tanpa keluh resah terus menerus berjuang sehingga ke akhirat kelak, betapa jauhnya perjuangan kita jika hendak dibandingkan dengan Baginda S.A.W dan Sahabat-sahabat R.A. ALLAHumma Solli Wassalim Wabarik Ala Sayyidina Muhammad wa alihi Wa Sohbihi Ajmain.

Sekadar perkongsian biasa apabila ana pergi ke sebuah rumah untuk mendapatkan sedikit daun bidara dalam ikhtiar rawatan kepada salah seorang kawan di Gombak baru-baru ini. Alhamdulillah, akak berkenaan membenarkan ana mengambil daun berkenaan dan siap pesan lagi, nanti kalau nak, ustaz ambik jer daun ni bila-bila masa pun. Alhamdulillah, baik betul hati akak nie, em daun bidara kecil, berdurinya banyak.

Nak dijadikan cerita, oo ni Ust Rosdi katanya, anak ustaz ada datang jugak main-main kat umah akak katanya memulakan bicara. Dan akak tadi bertanyakan beberapa perkara, antaranya berkaitan rawatan gangguan dan menyatakan adiknya ada terkena gangguan dan sebagainya, dan akak tadi membilang tempat-tempat pusat rawatan yang dia pernah kunjungi antaranya Darus Syifa' Bangi, Ustaz Malek Lazim, Ust Hayat dan beberapa tempat lagi, dan ana menjawab Alhamdulillah, lagi ramai yang doakan, lagi baik Insya Allah.

Akak tadi bertanyakan satu soalan pada ana, ustaz kenapa saya solat, mengaji dan melakukan amalan-amalan lain, tetapi gangguan nie tetap datang... ana terkedu dengan soalan tadi. Honestly ana nak jawab direct jer [akak nie tak bertudung], akak tak menutup aurat/ tak ikut syariat macam mana nak dapat kesembuhan dariNya. GIngat nak jawab begitu, namun adab Melayu berlapik sikit. Sabarlah kak, sedangkan nabi Muhammad SAW pun terkena sihir, apakan dayanya kita manusia biasa. Dia terkejut... ooo nabi pun kena sihir jugak???

Jadi ana cari kenyataan yang dikeluarkan dalam web Darus Syifa' berkaitan hal ini, memandangkan masyarakat Malaysia lebih mengenali Darus Syifa' [TG Dato' Dr Harun Din] dan yang kedua Darus Salam [TG Dato' Ismail Kamus], jadi ana ambik keratan berkenaan.  Sekadar perkongsian dan tiada niat untuk memburukkan sesiapa pun. 

Wallhu a'lam.

Saya ada soalan:
Ada dakwaan mengatakan Nabi Muhammad s.a.w. pernah disihir, betulkah ini berlaku? Tidakkah Nabi Muhammad maksum, terpelihara daripada kejahatan manusia? Adakah wujud keterangan dalam al-Quran atau as-Sunah tentang perkara ini?

 Jawapan :
Maksud firman Allah: “Wahai Rasul, sampaikanlah apa yang diperturunkan kepada mu dari Tuhan kamu dan jika tidak kamu kerjakan apa yang diperintahkan itu, bererti kamu tidak menyampaikan amanat­Nya. Allah akan memelihara kamu daripada (kejahatan) manusia, sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir” (Al-Maaidah: 67).

Perkataan maksum daripada makna perkataan ya’tsimuka (memelihara kamu). Dalam tafsir muktabar maksudnya, tidak ada orang yang boleh membunuhnya. Ia juga bermakna, Nabi Muhammad dipelihara sehingga tidak berlaku sesuatu kemaksiatan ke atasnya. Nabi tidak melakukan kesalahan yang mendatangkan dosa.

Bagi peristiwa Nabi disakiti sehingga luka kaki, dibaling batu oleh kanak-kanak upahan di Taif atau terluka (mengalami berbagai kesa­kitan) dalam Perang Uhud, sakit kepala, demam dan sebagainya, ia bukan bermaksud maksum, yang dipelihara Allah kerana baginda sebagai manusia biasa yang menerima wahyu, baginda juga berlapar, rasa dahaga, sakit dan sebagainya.

Mengenai Nabi disihir, jika diteliti, sihir memang boleh berlaku. Disebut dalam hadis sahih: Kata Aishah, telah disihir Rasulullah oleh seorang lelaki daripada Bani Zuraiq, dikatakan lelaki itu ialah Labid bin al-A’sam al-Yahudi. Rasulullah berasa tidak keruan atas perkara yang telah dilakukan, baginda merasa ragu sudah dilakukan atau tidak. Nabi bertanya Aishah, “Wahai Aishah, apakah kamu tahu bahawa Allah telah melakukan sesuatu ke atas diriku?” Nabi menyambung dengan katanya, “ada dua orang laki-laki datang kepadaku ketika aku sedang tidur, maka salah seorang berada di sisi kepalaku, seorang lagi berada di sisi kakiku, maka seorang daripadanya bertanya kepada kawannya, apakah sebenarnya yang dideritai oleh Muhammad ini?

Maka seorang lagi menjawab, dia telah disihirkan orang. Ditanya lagi, siapakah yang telah menyihirnya? Dijawab lagi, disihirkan oleh Labid bin al-A’sam. Ditanya lagi dengan apakah dilakukan sihir itu? Jawab­nya, digunakan sikat rambutnya, dengan satu ikhtiar lain (sihir). Ditanya, di manakah diletakkan barang-barang tersebut? Dijawab­nya, ditanam dalam sebuah perigi namanya Perigi Darwan.

Maka ditanya lagi, dengan apa­kah kita akan merawatkan Muham­mad ini? Maka dibacakan beberapa ayat dari al-Quran. Nabi Muhammad s.a.w. sedar dari tidurnya, maka diberitahu kepada Aishah, “Bahawa­sanya, Allah SWT telah menyem­buhkan aku dan aku tidak mahu hal ini menjadi fitnah di kalangan manusia dan aku telah sembuh.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Musuh Islam, terutamanya Yahudi, akan melakukan apa sahaja untuk memenuhi kehendak mereka. Ulama bersepakat berpandukan hadis sahih ini, ada percubaan melakukan sesuatu yang dipanggil sihir. Nabi memerintahkan sahabat, turun ke dalam perigi mencari ba­rang-barang sihir tersebut, dikeluar­kan dan Nabi telah sembuh seperti biasa.

Peristiwa ini tidak boleh disa­makan dengan manusia di zaman kita yang terkena sihir sehingga hilang pertimbangan kewarasan, menderita kesakitan memanjang dengan mengganggu ibadat, malah mengganggu daripada melakukan kerja harian.

Semua itu tidak mengganggu Nabi, baginda cuma terasa ada sesuatu yang tidak kena berlaku dalam dirinya. Tiada siapa yang me­ngetahui, Aishah pun tidak menge­tahui sehingga Nabi memberitahu tentang dua orang lelaki (malaikat) datang untuk mengubat baginda dengan ayat-ayat al-Muawwizat, ayat pelindung penyakit sihir.

Ia merupakan panduan kepada umatnya untuk melindungi diri daripada penyakit. Jelas bahawa Nabi sendiri pun bila disihirkan orang, tidak mengetahui, melainkan selepas Jibrail as. memberitahu bahawa baginda telah matbub (disi­hirkan).

Jika Nabi sendiri tidak menge­tahui baginda disihirkan, bagaima­na orang hendak berubat, mengadu kesakitan, tiba-tiba si pengubat mengatakan ‘kamu telah kena sihir’ Datang pesakit lain, dikata ‘kamu telah kena buatan orang’, ada yang lebih ke hadapan mengatakan, ‘ka­mu telah disihir fulan bin si fulan.’

Bagaimana insan biasa boleh mengetahui sihir yang kena kepada orang lain? Bukan kena kepada dirinya, dengan membuat keputusan orang itu kena sihir, ini­lah masalah yang kita hadapi. Tidak sepatutnya berlaku sede­mikian kerana hanya Allah sahaja mengetahuinya dan tidak ada orang yang boleh tahu hal sebenarnya. Pengubatan disyariatkan, tetapi jangan sampai mendakwa orang itu kena sihir atau menuding jari kepada orang yang didakwa melakukan sihir.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts