Wirid Ulama Muktabar



BUKU ini mengumpulkan wirid-wirid ulama muktabar yang menjadi amalan seharian para alim terdahulu. Wirid-wirid ini seharusnya menjadi amalan seharian dalam kehidupan umat Islam.

Ini kerana setiap amalan itu mempunyai hikmah dan kelebihan yang tersendiri di samping dapat lebih mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Wirid-wirid yang diamalkan juga akan menjadi amalan tambahan umat Islam yang mengamalkannya dalam mencari pahala sebanyak mungkin untuk memudahkan urusan yang bakal dihadapi di akhirat kelak. 

Dengan adanya buku ini, ia dapat memudahkan umat Islam untuk mengetahui wirid-wirid yang sahih, tidak memesongkan akidah dan boleh diamalkannya dalam kehidupan seharian kita. 

Buku ini diterbitkan dengan tujuan mengumpul Dana Pembangunan dan Dana Pembinaan Maahad Tahfiz Darul Quran Wal Qiraat, Repek, Pasir Mas, Kelantan.

Setiap pembelian buku ini secara tidak langsung merupakan sumbangan kepada dana tersebut. Pembangunan terkini yang sedang dijalankan di Maahad Tahfiz Darul Quran Wal Qiraat adalah pembinaan Masjid Imam Syafie yang dianggarkan berjumlah RM6 juta. 

Pembinaan kini mencecah hampir 60% siap dan sedang giat memulakan pembinaan di tingkat tiga. Sokongan dan kerjasama yang berterusan daripada masyarakat Malaysia diperlukan dalam menyumbang dana sehingga pembinaan siap. 

Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki

Buku ini melibatkan seorang ulama yang disegani iaitu Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki. 

Beliau dilahirkan di sebuah desa bernama Harus, Amuntai iaitu Banjarmasin, Kalimantan Selatan Indonesia pada 1 September 1960. 

Beliau anak yang ketiga dari tujuh bersaudara, dari keluarga yang taat beragama. Bondanya, Rahmah Muhammad Sobri adalah puteri ulama besar di Kalimantan Selatan.

Mendapat pendidikan awal di sekolah rendah di kampung. Kemudian pada tahun 1974 beliau belajar di pondok pesantren Normal Islam. Belum sempat menamatkan pengajiannya di pondok tersebut seluruh keluarganya berhijrah ke Tanah Suci Mekah. Pada tahun itu juga (1974) beliau meneruskan pengajiannya di madrasah Shaulathiah sehingga tahun 1982. 

Selain itu, beliau juga mengikuti pengajian secara umum di Masjid Haram dan juga di rumah para masyaikh.
Pada tahun 1982 beliau menamatkan pengajiannya dengan kepujian mumtaz (cemerlang) di madrasah Shaulathiah. 

Di samping itu juga beliau turut mencurahkan ilmunya kepada para pelajar dari Indonesia. Beliau mengajar kitab Qatrunnada, Fathul Mu'in, 'Umdatussalik, Bidayatul Hidayah dan lain-lain sebelum naik ke kelas 'Aliyah.

Beliau adalah murid kesayangan gurunya asy-Syaikh al-'Allamah Ismail Utsman Zain al-Yamani. Guru inilah yang banyak mewarnai dalam kehidupan beliau. 

Tuan guru ini banyak meluangkan waktunya yang berharga untuk beliau dan sering mengajaknya menemani ke Madinah menghadiri program agama dan juga menziarahi makam nabi SAW. 

Pada tahun 1983, beliau melanjutkan pengajiannya di Universiti al-Azhar asy-Syarif dalam bidang syariah hingga beroleh sarjana muda. 

Kemudian menyambung pengajian di Ma'had 'Ali Liddirasat al Islamiah di Zamalik sehingga memperolehi diploma am Dirasat 'Ulya pada tahun 1990. 

Setelah menamatkan pengajian di Universiti al-Azhar, beliau menumpukan perhatian mencurahkan ilmunya kepada ribuan para pelajar yang datang dari Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand yang menuntut di Universiti al Azhar.

Sehingga beliau mendapat gelaran al Azharus Tsani (Azhar ke Dua) iaitu satu julukan yang terhormat dan tulus daripada masyarakat universiti al Azhar sendiri.

Beliau mengadakan kelas pengajian 'Majlis Al-Banjari Littafaqquh Fiddin' sejak tahun 1987 sehingga 1998 yang mana buat pertama kalinya diadakan di rumah pelajar Johor dan rumah pelajar Pulau Pinang, di dewan rumah Kedah dan di dewan rumah Kelantan dan juga di masjid Jamek al Path di Madinah Nasr. 

Di samping mengajar beliau juga menghasilkan kitab-kitab agama berbahasa Arab dalam pelbagai bidang yang banyak tersebar luas di Timur Tengah dan juga di negara Malaysia. Boleh dikatakan setiap para pelajar yang belajar di Al-Azhar Mesir semasa beliau berada di sana pernah menimba ilmu dari tokoh ulama muda ini.

Sememangnya sejak dari awal keterlibatannya dalam dunia ta'lim beliau telah menazarkan diri beliau untuk terus menjadi khadim (orang yang berkhidmat) untuk penuntut ilmu agama.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts